KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
6 Ramadhan 1436 | 23 Jun 2015
“Regim Mesir Khianati Umat Islam”
Tindakan Kerajaan Kudeta Mesir di bawah regim pimpinan Presiden Abdel Fattah as-Sisi untuk membuka kembali pejabat Kedutaan Mesir di Tel Aviv merupakan satu petaka malang pada Ramadhan yang mulia ini dan pengkhianatan ke atas seluruh umat Islam.
Keputusan itu membuktikan karektor sebenar regim Mesir bahawa mereka selama ini adalah talibarut kepada negara pengganas dunia dan bersekongkol dengan Zionis Israel untuk menggulingkan pemerintahan Kerajaan Mesir pilihan rakyat di bawah pimpinan Dr Mohamed Mursi.
Saat dunia dan masyarakat antarabangsa mengutuk penjajahan Israel ke atas kedaulatan Palestin dan kezaliman serta pembunuhan terhadap kaum Muslimin di Tanah Suci umat Islam itu, regim Mesir menghulur tangan menjabat hubungan diplomatik.
Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat hubungan tersebut sebagai usaha pengukuhan geostrategik Israel sekaligus untuk mengarus dan menguasai kepentingan politik dunia. Ia bakal mengundang tragedi hitam ke atas kemanusiaan sejagat amnya dan Islam secara khususnya akan terus dikambing hitamkan dengan pelbagai tuduhan terorisme.
Situasi itu kelak akan dimanipulasi untuk menjadikan Mesir sebagai jambatan menghubungkan Israel dengan negara-negara umat Islam dirantau Asia Barat dan Timur Tengah khususnya. Dengan rekod buruk dimiliki negara pergerakan Freemason itu, mereka akan memperkudakan pihak lain sebagai boneka hingga mengundang pelbagai ketidakstabilan politik, bencana ekonomi dan gugatan keselamatan dunia.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) menggantung keanggotaan Mesir. Kami juga menyeru kepada seluruh umat Islam agar bangun menyatakan bantahan dan menyelar keputusan memalukan umat Islam itu.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia